khas utk linda,

(artikel ni diterbitkan semula dr wikipedia. aku bukan pengamal silat sendeng, tapi aku mem'promo'kannye demi rasa cinta aku kepada seni warisan bangsa yang semakin dilupakan masyarakat melayu sendiri. ape2 pertanyaan ttg silat sendeng malaysia, sila la bertny [kontek aku/pengamal seni sendeng nih] -djambu puadovich)


Seni Silat Sendeng Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Muar telah diasaskan oleh Allahyarham Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau telah mewarisi pembelajaran Seni Silat Sendeng ini dari ninda-ninda beliau serta guru-gurunya yang lain yang terkenal dengan kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan serta kerohanian mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.
Perguruan ini merangkumi persilatan dari 3 aliran yang terkenal dizaman silam iaitu Kuntau Telok Mas, Pukulan Sendeng dan Pukulan Sendeng 7 Hari. Ketiga-tiga jenis aliran persilatan ini diajar secara berperingkat yang dinamakan Kuntau 3 bulan, Sendeng dan Sendeng 7 Hari. Setiap satu diperturunkan sama seperti aliran persilatan yang asal tanpa mengubah atau mencampur aduk permainan.
Bagi Kuntau 3 Bulan pelajarannya terdiri dari tari dan langkah silat Melayu yang asli seperti lela sembah, lompat tiong , lebah mengurap, lipat pandan dll, permainan senjata seperti keris, tumbuk lada , tekpi ,pedang , pedang–perisai dan tembong. Juga terdapat belebat kuntau , pecah(kata) ,pernafasan lean dan pukul selain dari tangkapan dan kuncian.
Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan Sendeng 7 Hari lebih menumpukan kepada membaca gerak dan melapis pukul sendeng serta mengenali sasaran lemah pada lawan. Dalam peringkat ini cara bertahan atau menyerang tidak bergantung kepada lawan.


Pengertian Silat Sendeng


Nama Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.
Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah : -


SENI - adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.


SILAT - ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.


SENDENG - merupakan adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang berposisi mengiring. Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi istilah, fizikal mahupun rohaniah. Dari segi istilah perkataan 'Sendeng' terdiri dari dua sukukata yang dicantumkan iaitu 'SEN dan 'DENG'.


'SEN ' - singkatan dari perkataan ' Senggam ' bermaksud kedudukan yang kukuh, kuat dan rapi.
'DENG ' - (atau ' DING ' ) berasal dari perkataan ' Dinding ' iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan. Di sudut fizikal pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi. Dengan cara ini juga akan memudahkan pesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.


Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman 'permainan jauh ' dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di'tujui'nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ' Lam Alif ' yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring. Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ' permainan jauh' itu sukar untuk dikesan.


Oleh yang demikian itu kedudukan 'Sendeng ' merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, membuang dan menepis sebarang bentuk 'musibah' yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan "capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup".


Falsafah & Konsep


Mendahului serangan




Pada masa dahulu pembelajaran Seni Silat Sendeng lebih menumpukan kepada aspek seni beladiri ataupun lebih dikenali sebagai “pukul”. Berdasarkan prinsip, menyerang adalah sebaik-baik belaan, latihan-latihan Seni Silat Sendeng pada ketika itu lebih menjurus kepada memahirkan teknik-teknik mendahului serangan musuh. Prinsip ini diterjemahkan di dalam bentuk teknik beladiri yang 99 peratus menyerang dan 1 peratus menunggu.
Dalam ertikata lain, pesilat sendeng amat jarang menunggu serangan sebaliknya memintas serangan musuh berdasarkan isyarat yang dipamerkan oleh musuh yang bersedia untuk menyerang.
Isyarat ini juga disimpulkan di dalam falsafah yang berbunyi "Dalam terang ada cahaya, dalam kilat ada kilau, dalam seni ada halus, dalam silat ada silau,dalam gayang ada gerak, dalam gerak ada bayang."
Pesilat Sendeng akan dapat mendahului serangan setelah 'masak gerak' iaitu kemahiran untuk mengenal punca punca gerak ataupun ibu gerak samada pergerakan tangan, kaki ataupun mana-mana bahagian tubuh. Secara khusus, pergerakan halus dikenali sebagai gerak manakala pergerakan kasar pula dikenali sebagai gayang.
Bagi membolehkan pesilat sendeng mendahului serangan lawan, beliau perlu memahami konsep ibu pukul serta menguasai teknik memati gerak dan memati pukul. Konsep mendahului serangan diterangkan melalui falsafah yang berbunyi "Gerak engkau gerak aku, mula engkau aku tiba, langkah engkau gayang aku, serangan kau makanan aku." Ini bermakna lagi pantas musuh menyerang lagi pantas kita serang.
Dalam keadaan musuh menyerang dengan pantas kita matikan serangannya. Sebab itulah walaupun pada dasarnya pihak lawan cuba menyerang dahulu tetapi pergerakan lawan itu dapat dipintas dan akhirnya pesilat Sendeng yang memukul.
Selain daripada itu, pesilat Sendeng juga perlu mempunyai keberanian dan dapat mengunakan akal yang waras semasa menghadapi sesuatu serangan. Saat menghadapi musuh ini disimpulkan didalam falsafah yang berbunyi 'Gerak, gayang, pantas, berani, berakal'. Gerak dan gayang pada musuh tapi pantas, berani dan berakal pada kita'.
Konsep mendahului serangan bertujuan untuk menghapuskan punca ancaman seperti yang ditekankan di dalam falsafah Sendeng yang berbunyi "Yang memukul itulah di pukul, yang menyerang itulah yang diserang, yang menyakitkan itulah yang disakitkan."
Akhirnya, seorang pesilat Sendeng yang telah benar-benar mahir dan memahami konsep mendahului serangan akan mencapai tahap dimana "Penamat belajar mengelak, tak payah mengelak, penamat belajar menepis, tak payah menepis” dan "Capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup."

Pergerakan Relatif


Sendeng dalam erti kata lain juga bermaksud ialah sandar. Pukulan Sendeng yang dilakukan secara lazimnya menyandar atau menumpang kepada kekuatan, kelajuan, kemarahan dan kemaraan pihak lawan.
Falsafah Sendeng berbunyi 'cepat datang cepat pula jatuh, besar yang datang besar perginya'. Falsafah ini mengariskan konsep di dalam Seni Silat Sendeng di mana pesilat membela diri secara relatif dengan menggunakan kekuatan dan kepantasan pihak lawan.
Terdapat juga falsafah Sendeng yang berbunyi "Kalau dia datang sekati kita beri dia dua kati. Dia datang sepikul, jatuh dua pikul, kita sepikul dia sepikul."


Pergerakan yang hidup


Di dalam Seni Silat Sendeng setiap teknik pergerakan adalah hidup seperti falsafah yang berbunyi 'tangan itu yang menumbuk dan tangan itu juga yang menepis'. Setiap serangan yang dimulakan ianya akan berlapis-lapis sebab pesilat sendeng dilatih melakukan dua kerja serentak.
Falsafah Sendeng menekan pergerakan yang hidup "Ada datang ada pergi, ada hidup ada mati, ada sakit ada ubatnya, ada tumbuk ada penepisnya, ada tangkap ada pelepasnya dan ada kunci ada pembukanya."


Praktikal


Teknik beladiri di dalam Seni Silat Sendeng lebih menekankan kepada cirri-ciri praktikal dan keberkesanan. Ini digambarkan oleh falsafah yang berbunyi "Sendeng itu permainannya buruk tetapi kenanya bonyok. Pukulnya hodoh, kena lodoh." dan "Pukul sendeng datangnya tak tegak tetapi kenanya tepat."


Haram di sentuh


Sendeng juga mengamalkan falsafah 'haram di sentuh'. Haram bukan dari segi agama tetapi haram yang dimaksudkan ialah tidak dibenarkan sama sekali pukulan sendeng disentuh atau ditangkap. Bagi Seni Silat Sendeng pukulan lebih pantas dari kunci kerana pukul sendeng bukan pukul bermalam dan diterangkan di dalam falsafah berbunyi "Belum sempat nak tangkap dah terlepas, sorong kena tarikpun kena."
Sesuai dengan peredaran masa dan undang-undang, kaedah pembelajaran Seni Silat Sendeng kini telah dirombak dan disusun semula. Berdasarkan konsep, teknik dan adab aliran kuntau, sendeng dan pukul 7 hari, Seni Silat Sendeng kini telah diadun menjadi satu sistem seni beladiri yang berkesan, praktikal, selamat, menjimatkan masa dan pergerakan, disamping menekankan aspek kecergasan fizikal dan mental serta memupuk sikap-sikap positif seperti displin diri, sabar, berlapang dada dan bersungguh-sungguh di dalam setiap pekerjaan.


Adab & Tatacara


Silat dalam ertikata yang luas tidak sahaja terhad kepada seni beladiri semata-mata malahan mengandungi cirri-ciri warisan budaya yang telah diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Melayu sejak beratus tahun yang lalu.
Disini dipaparkan sebahagian dari tatacara dan warisan tersebut yang menyentuh adab belajar, rukun perguruan, tatacara berpakaian dan peralatan gendang silat.


Adab Belajar


Sebagai salah satu daripada warisan budaya Melayu yang berlandaskan syariat Islam, Seni Silat Sendeng amat menekankan adab-adab yang seharusnya diamalkan semasa mempelajari dan mempraktikan Seni Silat Sendeng. Adab belajar disimpulkan oleh Haji Abdul Hamid melalui kata-kata berikut:-
-"Kalau menuntut hendakkan berkat, biarlah timba mencari perigi bukannya perigi mencari timba. Kerana setinggi manapun ilmunya tetapi tiada berkat, ibarat keris yang tidak berbisa,kalau kena pun tidak memberi mudarat. "
-"Orang yang berakal itu akan berfikir ketika diam dan orang yang berfikir itu akan ingat sampai bila-bila."
-"Belajar dengan tidak berfikir adalah bahaya dan berfikir tanpa belajar akan kecundanglah kita."
-"Biar pahit di gelanggang tetapi manis di luar gelanggang."


Rukun Perguruan


Rukun atau dasar asas di dalam Seni Silat Sendeng Malaysia ialah:-
1.Mentaati perintah Allah dan rasul, anjuran dan suruhan Nya serta menghindari segenap larangan dan cegahan serta yang dicela Nya.
2.Menyantuni kedua Ibubapa, Guru-guru, Jurulatih (lama dan baru), keluarga tua, sebaya dan muda serta rakan seperguruan.
3.Memelihara maruah dan kehormatan Seni Silat Sendeng Malaysia dan kerukunan hidup kekeluargaan dan kemasyarakatan.
4.Menjauhi sifat-sifat takbur, ujub, riak, hasad sesama insan dan menghindari dari pertelagahan sesama seperguruan dan berlawan dengan orang lain, melainkan dalam keadaan terdesak dan tercabar.
5.Menghormati budaya Silat Melayu yang lain serta seni bela diri bangsa asing.


Permainan Gendang Silat


Penggunaan bunti-bunyian atau muzik (gendang) memang wujud sejak dahulu lagi. Muzik digunakan untuk mengiringi latihan, persembahan serta majlis adat istiadat.
Di dalam Seni Silat Sendeng, kumpulan muziknya terdiri dari empat orang iaitu dua orang daripadanya memukul gendang (gendang ibu dan gendang anak), seorang meniup serunai dan seorang lagi memalu gong. Terdapat tiga irama atau rentak asas yang dimainkan semasa mengiringi persembahan seni silat sendeng iaitu :-
-Gendang Rentak Inai
-Gendang Rentak Pahlawan
-Gendang Rentak Sendayung


Pentadbiran PSSSM


Secara ringkasnya struktur pentadbiran PSSSM adalah seperti berikut:-


Majlis Tertinggi PSSSM
Majlis Tertinggi PSSSM adalah jawatankuasa peringkat tertinggi yang dianggotai oleh ahli-ahli yang dipililh semasa Muktamar Dwi-Tahunan PSSSM. Ia berfungsi sebagai satu badan yang mengelolakan pentadbiran diperingkat pusat dan memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kerja PSSSM Negeri untuk menguruskan pentadbiran PSSSM peringkat negeri-negeri. Ia juga memberi kuasa kepada Majlis Guru PSSSM untuk menguruskan hal ehwal berkenaan perguruan Seni Silat Sendeng termasuk sukatan matapelajaran, pentauliahan jurulatih dan adat istiadat persilatan.


Majlis Guru PSSSM
Berlainan, dengan Majlis Tertinggi PSSSM, Majlis Guru PSSSM dianggotai oleh ahli-ahli PSSSM yang dilantik khusus dari kalangan ahli-ahli yang benar-benar arif berkenaan selok belok persilatan Seni Silat Sendeng. Fungsi utama majlis ini adalah untuk memastikan mutu dan keaslian Seni Silat Sendeng yang dikembangkan terjamin dan terpelihara.


Jawatankuasa Kerja PSSSM Negeri
Diperingkat negeri, pentadbiran PSSSM adalah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kerja PSSSM Negeri yang dipilih dari kalangan ahli-ahli PSSSM disetiap Mesyuarat Agung Tahunan PSSSM Negeri yang diadakan pada setiap tahun.

(for the words in colour, pls contact bro nadzrin of silatmelayu.com and ask him to fill the silat glossary. i've been forcing him to do dat for ages also but efforts have been futile :) )

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati